Sekiranya ASEAN mahu menganjurkan Piala Dunia FIFA 2034, bidaan tidak melebihi empat negara dilihat paling ideal dan praktikal.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam dilihat sebagai empat negara yang paling sesuai untuk menganjurkan kejohanan itu berdasarkan kemudahan infrastruktur dan kemampuan kewangan.

“Secara praktikalnya, tidak boleh lebih daripada empat, tentunya dua adalah ideal. Mungkin lebih banyak negara mahu turut serta dalam pembidaan tetapi empat negara ini merupakan calon yang sesuai.

“Empat negara ini juga mempunyai populariti bola sepak yang tinggi,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha, dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, mengumumkan bahawa semua negara anggota ASEAN bersetuju untuk mengemukakan satu bidaan bersama bagi menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak terbesar di dunia itu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata beliau mengalu-alukan perkembangan itu kerana beliau pernah mengutarakan cadangan berkenaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN pada 2015 sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN.

“Sebenarnya, kajian kebolehlaksanaan telah bermula apabila saya membangkitkan perkara ini bersama dengan rakan-rakan sejawatan saya dan kajian itu turut melibatkan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN). Sepatutnya, kajian itu telah selesai tetapi kerana saya bukan lagi menteri, saya tak pasti apa statusnya.

“Mungkin kajian itu telah selesai dan meyakinkan kepimpinan ASEAN, baru-baru ini. Sewaktu saya mencadangkan idea ini, kita masih lagi tidak tentu daripada segi berapa negara terlibat sekiranya menjadi tuan rumah, sama ada dua seperti Jepun dan Korea Selatan pada 2002, atau lebih daripada itu,” katanya.

Beliau menambah, ketika itu pihaknya mendapat petunjuk daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa badan dunia itu sedia mempertimbangkan jika ada lebih daripada dua negara penganjur.

-- BERNAMA