Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menganggap masalah pemain senior "besar kepala" sebagai sesuatu yang serius, namun peranan utama jurulatih mampu mengelak perkara itu daripada berlaku.

Hanya jurulatih yang tegas mampu mengatasi situasi itu.

Apa yang disuarakan Cheng Hoe ibarat petanda isu ini sememangnya bukan perkara baru dalam kalangan pemain negara, namun beliau mempunyai langkah untuk mengatasinya.

Ketegasan jurulatih selain melayan kerenah pemain tanpa beza mampu membuatkan mereka menyedari akan hakikat tiada istilah ‘pilih bulu’ dalam pasukan negara.

"Bagi saya, tidak mengira pemain senior atau muda, saya mengutamakan sumbangan yang mampu mereka berikan. Perkara paling penting adalah mereka harus memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan," kata Cheng Hoe.

Dalam masa sama, ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak terlepas berhadapan kerenah pemain yang bersifat "primadona".

Namun, beliau turut memiliki pendapat yang sama mengenai pendekatan jurulatih memainkan peranan penting.

"Ini adalah perkara biasa, setiap pasukan memiliki 'primadona'. Tetapi kami harus mengetahui cara untuk mengawal mereka," kata Kim Swee.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah mendedahkan semalam bahawa masalah dalaman membabitkan kerenah pemain yang besar kepala antara punca skuad senior tidak maju.