Frank Bernhardt tampak tidak terkejut dengan pemecatannya selaku jurulatih skuad bawah 22 tahun negara walaupun mendapat tahu keputusan itu menerusi laporan media ketika berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengesahkan Bernhardt tidak lagi akan mengendalikan skuad itu untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini.

Ia diumumkan ketika sidang media Kongres FAM Ke-53 Sabtu lalu dengan tempat jurulatih dari Jerman itu diganti Datuk Ong Kim Swee yang diturunkan pangkat daripada skuad senior kebangsaan.

Bagaimanapun, Bernhardt ketika ditemui sejurus tiba dari UAE di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, mengesahkan dia masih belum menerima surat rasmi pemecatannya daripada badan induk itu.

"Mungkin ia tidak sempurna lagi," katanya. "Kami tidak boleh buat sebarang perubahan. Ia seperti ini. Ketika pemilihan dan kami berada di Dubai, saya ok. Saya mengetahuinya daripada media."

Kontrak Bernhardt sepatutnya berakhir Disember ini, dan berdasarkan situasi semasa, bekas jurulatih bawah 21 tahun Estonia itu dijangka meleraikan ikatan bersama FAM dalam masa terdekat apabila mengesahkan akan mengadap Tunku Ismail esok.

"Kami harus bercakap dan ini akan berlaku selepas ini. Ya, kenyataan itu sudah jelas tetapi sesetengah daripadanya kurang difahami bagi saya. Kami harus berbincang dan selepas ini saya boleh mengulas lanjut," tambahnya.

Piala Dubai adalah kejohanan terakhir Bernhardt bersama pasukan bawah 22 tahun negara yang menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan ke atas Singapura, seri dengan China dan tewas kepada Thailand dan Jordan.

Dia dilantik sebagai jurulatih skuad itu pada Disember 2015, dan pencapaiannya bersama skuad negara tidak begitu menyerlah dengan lima kemenangan daripada 17 perlawanan.