Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, mengakui terpaksa menukar perancangan andai ramai pemain utama mengalami kecederaan menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Bernthard berkata dia perlu memikirkan langkah baru sekiranya kem latihan dibelenggu masalah kecederaan.

Berbaki lima bulan sebelum pembukaan tirai Sukan SEA, Berndhart sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang bakal memberi impak negatif terhadap kelancaran persiapan anak buahnya.

Menjadi kelaziman setiap kali membabitkan aksi penting, skuad negara akan dipalit dengan kecederaan ekoran kepadatan jadual liga.

"Mereka ini pemain penting, kerana itulah kami memanggil mereka. Tetapi jika keadaan tidak mengizinkan, kami perlu berdepan dengan masalah ini," kata Bernhardt.

Pada hari pertama latihan skuad negara, sembilan pemain gagal menghadirkan diri, antaranya tiga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Dominic Tan, Safawi Rasid dan Haziq Hadzli yang akan beraksi dalam Piala AFC berdepan Global FC di Larkin esok.

Sementara itu, tiga pemain lain, Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Shahrul Hakim (Kelantan) dan S. Kumaahran (Pulau Pinang) tidak dapat menjalani latihan ekoran kecederaan.

"Kami memiliki tiga pemain yang hadir, namun mereka ini tidak dapat menyertai sesi latihan ekoran masalah kecederaan.

"Jadi, saya tidak nampak khidmat mereka dapat digunakan," tambahnya.