Diego Costa menegaskan Atletico Madrid mampu menundukkan sesiapa sahaja berbekalkan keinginan dan keberanian selepas mengalahkan Real Madrid dalam Piala Super UEFA.

Penjaring dua gol itu membantu Atletico mencapai kemenangan 4-2 ke atas juara Liga Juara-Juara (UCL) dan seteru setempat itu di Tallinn, awal pagi tadi.

Costa melakar gol terpantas Piala Super UEFA dengan catatan 49 saat sebelum Karim Benzema mengikat kedudukan 26 minit kemudian dan sepakan penalti Sergio Ramos meletakkan Madrid di depan ketika permainan bersisa 29 minit dalam aksi di ibu kota Estonia itu.

Juara Liga Europa, Atletico, bagaimanapun, tidak mengalah apabila Costa sekali lagi mencetak gol 16 minit kemudian untuk melanjutkan aksi ke masa tambahan sebelum Saul Niguez dan Koke memastikan gelaran ketujuh buat pengurus, Diego Simeone.

Bercakap selepas perlawanan itu, penyerang Sepanyol, Costa, berkata: "Dengan keinginan dan 'cojones' (keberanian) yang kami ada, kami boleh menentang mana-mana pasukan.

"Ia adalah kemenangan yang sudah lama dicari-cari, saya sangat gembira.

"Mereka memenangi dua pertemuan perlawanan akhir dengan kami, kami mahu memenangi final di pentas Eropah ketika menentang mereka," katanya. "Ia sangat penting demi menyuntik keyakinan menjelang musim baru ini."

Atletico dilihat membuat persiapan mantap dalam usaha memenangi gelaran LaLiga pertama mereka sejak 2014 dengan mengikat Thomas Lemar, Rodri, Gelson Martins, Nikola Kalinic, Santiago Arias, Jonny dan Antonio Adan.

Bagaimanapun, langkah terpenting mereka adalah kejayaan memujuk penggempur dan pemenang Piala Dunia Russia, Antoine Griezmann, supaya kekal di sebalik minat daripada juara LaLiga, Barcelona.

"Atletico sentiasa mempunyai projek yang bercita-cita tinggi, kami boleh pergi ke mana-mana berbekalkan usaha dan rendah diri," tambah Costa. "Kami boleh menyaingi mana-mana pasukan, kami telah mengukuhkan pasukan dan saya harap kami terus berkembang."

Costa dan ketua pasukan Madrid, Ramos, terbabit dengan persaingan hebat di Tallinn apabila mengetepikan hubungan mereka di dalam kem Sepanyol.

Costa dan Ramos sama sekali tidak berganjak apabila terbabit dalam insiden keras lebih daripada sekali, begitupun ia dianggap sebagai sebahagian daripada perlawanan.

"Semua orang tahu kekaguman saya terhadap Ramos, dia menunjukkan tahun demi tahun betapa bagusnya dia," kata Costa. "Ketika saya tiba untuk pasukan kebangsaan, dia membantu saya.

"Saya menghormatinya ... tetapi di atas padang, semua orang bertarung. Saya mahu menang dan apa yang berlaku di padang kekal di padang."

Sementara itu, penjaring, Koke, menambah: "Ia satu perlawanan yang hebat, jika kami berjuang sebagai sebuah pasukan, kami akan meraih sesuatu."