Rafael Benitez melaungkan keazaman untuk bersedia membantu pengurus baru Rangers, Steven Gerrard, selepas legenda Liverpool itu memulakan langkah pertama dalam bidang kejurulatihan.

Gerrard, yang merupakan bekas kapten England, dilantik di Ibrox menerusi kontrak selama empat tahun, menggantikan pengendali sementara, Graeme Murty, yang dipecat pada awal minggu ini susulan kekalahan besar 5-0 di tangan seteru utama, Celtic.

Gerrard memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah ketika beraksi sebagai pemain di bawah kendalian Benitez dan pengurus dari Sepanyol itu sedia untuk memberikan nasihat buatnya.

“Saya tidak rasa dia akan perlukan nasihat tetapi jika dia mahu, saya sentiasa ada,” kata Benitez.

Apabila ditanya mengenai keputusan melantik Gerrard yang meninggalkan jawatan selaku pengurus skuad muda Liverpool untuk ke Rangers adalah satu risiko buat kelab Scotland itu, Benitez menambah: “Saya tidak rasa begitu.

“Dia memiliki nama dan tahu tentang bola sepak. Saya pasti staf yang akan dibawa bersamanya akan mempunyai pengalaman, jadi ia akan berjalan lancar.

“Kebiasaannya, apabila anda mempunyai individu yang sangat cintakan bola sepak, berbekalkan pengalaman daripada individu di sekeliling, mereka mampu melakukannya.

“Sudah pasti langkah pertama akan memberikan cabaran dalam dunia pengurusan tetapi ini adalah peluang untuknya menunjukkan kualiti yang dimiliki,” tambah Benitez.

“Saya pernah bercakap dalam beberapa sidang media bahawa Gerrard pernah beraksi bersama beberapa pengurus yang berbeza corak permainan. Saya pasti dia telah mempelajarinya dan diharapkan ia bagus buat dirinya.

“Ia tidak mudah kerana tentunya sukar untuk bersaing dengan Celtic. Saya yakin dia akan menjadi pengurus yang sentiasa muncul dengan idea segar. Dia mampu melakukannya," katanya lagi.