Pengerusi kehormat Beijing Guoan, Luo Ning, mendedahkan pasukan gergasi Liga Super China (CSL) itu telah memberikan tawaran yang lumayan kepada Wayne Rooney tetapi kapten Manchester United itu mahu kekal dalam Liga Perdana Inggeris.

Rooney, yang kini tidak beraksi dalam kesebelasan utama pasukan, telah dikaitkan dengan perpindahan untuk meninggalkan Old Trafford.

CSL dan MLS di Amerika Syarikat dilihat sebagai destinasi buat pemain berusia 31 tahun itu, yang hanya menjaringkan satu gol dalam 10 penampilan Liga Perdana musim ini.

Beijing Guoan -- yang memiliki pemain kebangsaan Brazil, Renato Augusto, dan penyerang Turki, Burak Yilmaz -- berkata mereka telah cuba membawa Rooney ke China.

"Kami telah membuat tawaran untuk mendapatkan Rooney pada awal musim tetapi dia telah memberitahu bahawa dia mahu kekal di Manchester United," jelas Luo.

"Rooney berkata dia mahu terus bermain dalam Liga Perdana selagi kesihatannya membenarkan.

"Kami juga bertemu dengan ejennya [Paul Stratford]."

Rooney sebelum ini dikaitkan dengan Shanghai SIPG, di mana bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson, bertugas sehingga beliau dipecat dan digantikan oleh Andre-Villas Boas minggu lalu.