BAYER LEVERKUSEN 1 BAYERN MUNICH 3

Skuad kendalian Jupp Heynckes, Bayern Munich, terus selesa memimpin carta Bundesliga apabila membenam cabaran Bayer Leverkusen 3-1 dalam aksi di Stadium BayArena, awal pagi tadi.


Leverkusen melayan kunjungan Bayern dengan misi untuk mencuri tiga mata selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 4-4 menentang Hannover 96 dalam perlawanan liga Disember lalu.

Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-32 apabila Javi Martinez menolak bola masuk menewaskan penjaga gol, Bernd Leno, selepas tandukan awal Arturo Vidal gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya untuk mengejutkan kira-kira 30,000 penyokong tuan rumah.

Pemain muda, Leon Bailey, hampir menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-54 apabila larian solo yang dilakukannya memperdayakan tiga pertahanan Bayern sebelum percubaan kaki kirinya sekadar singgah ke palang gol.

Sebaliknya, pelawat terus menambah gol kedua lima kemudian, kali ini menerusi Franck Ribery menerusi rembatan leret dari sebelah kanan pintu gol Leverkusen untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Bekas penyerang Hoffenheim, Kevin Volland, merapatkan jurang buat anak-anak buah Heiko Herrlich itu pada minit ke-70 apabila rembatan kaki kirinya terkena Niklas Sule sebelum bola menerjah jaring, dan memberikan harapan buat tuan rumah.

Leverkusen terus mengasak sehingga ke penghujung perlawanan untuk mengikat kedudukan tetapi James Rodriguez menamatkan sisa-sisa kebangkitan tuan rumah apabila menyempurnakan sepakan percuma pada minit terakhir perlawanan untuk Bayern mencatat kemenangan ke-14 musim ini dengan keputusan 3-1.

Bayern kini memimpin carta liga dengan 44 mata, diikuti oleh Schalke 04 (30) dan Borussia Dortmund (28).