Pemain baru Bayern Munich, James Rodriguez, bakal terlepas aksi selama beberapa minggu setelah mengalami kecederaan paha.

Kecederaan itu disahkan oleh Bayern sendiri melalui satu kenyataan yang dikeluarkan.

James terpaksa dibawa keluar dari padang pada separuh masa kedua ketika beraksi menentang Liverpool dalam saingan Piala Audi yang menyaksikan juara Jerman itu tewas 3-0.

“Bayern akan beraksi tanpa kelibat James Rodriguez dalam masa beberapa minggu.

“Selepas melakukan ujian oleh pihak perubatan Bayern, James didapati mengalami kecederaan paha kanan,” kata kenyataan rasmi Bayern.

Dalam masa sama, skuad kendalian Carlo Ancelotti itu turut mengesahkan pemain tengah, Thiago, akan terlepas aksi Supercup DFL menentang Borussia Dortmund selepas dilaporkan mengalami kecederaan abdomen.