BORUSSIA DORTMUND 1 BAYERN MUNICH 3

Bayern Munich meneruskan aksi konsisten sejak kehadiran semula Jupp Heynckes selaku pengurus pasukan apabila membenam cabaran seteru utama, Borussia Dortmund, 3-1 dalam aksi Bundesliga di Signal Iduna Park, awal pagi tadi.


Bayern bertandang ke tempat lawan berbekalkan kelebihan tiga mata di tangga teratas berbanding Dortmund yang berada di tempat kedua dengan 20 mata.

Meskipun beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, ternyata Bayern berada dalam kelas tersendiri apabila bekas pemain skuad Belanda, Arjen Robben, membuka tirai jaringan pada minit ke-17.

Gerakan yang bermula daripada Thiago Alcantara itu disambut oleh James Rodriguez yang mendada bola sebelum menolak ke arah Robben yang tidak dikawal, membolehkan pemain sayap itu melepaskan sepakan kaki kiri menewaskan penjaga gol Dortmund, Roman Burki.

Robben sekali lagi menjadi pemusnah buat tuan rumah ketika babak pertama berbaki lapan minit, selepas lariannya dari sebelah kanan memberikan ruang buat Joshua Kimmich melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

Bekas penyerang Dortmund, Robert Lewandowski, yang berada di depan gol tidak berdepan masalah untuk melakukan satu kuisan yang mengelirukan dua pemain tuan rumah, Omer Toprak dan Julian Weigl, sebelum bola masuk ke dalam gawang untuk menjadikan 2-0.

Dua minit permainan bersambung dalam separuh masa kedua, Lewandowski hampir mencipta gol kedua peribadi menerusi tandukan, namun usahanya itu sempat dinafikan oleh Burki menggunakan kaki.

Hantaran lintang David Alaba pada minit ke-67 cuba disambut oleh Lewandowski yang berada di depan gol skuad kendalian Peter Bosz tetapi gagal, namun bola melantun masuk untuk kedudukan selesa 3-0 buat pelawat.

Gol saguhati tuan rumah akhirnya diraih menerusi rembatan kaki kanan Marc Bartra ketika perlawanan berusia tiga minit lagi untuk ditamatkan, dan kedudukan kemenangan 3-1 tetap menjadi milik skuad Die Roten.

Keputusan di Signal Iduna Park itu meletakkan Bayern kekal selaku pendahulu liga dengan 26 mata, diikuti RB Leipzig dengan 22 mata selepas menundukkan Hannover 2-1 dalam aksi sebelum itu dan Dortmund di tangga ketiga berbekalkan 20 mata.