Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, berpuas hati dengan skuad juara LaLiga itu meskipun terus dikaitkan dengan Paul Pogba.

Bintang Perancis berkenaan mengetuai Manchester United dalam aksi pembuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyumbat sepakan penalti dalam kemenangan 2-1 ke atas Leicester City di Old Trafford, Sabtu lalu.

Namun, Pogba mencetuskan bualan hangat selepas perlawanan itu apabila mendedahkan dia akan dikenakan denda jika dia menyuarakan pendapat yang jujur mengenai situasi kelab itu.

Hubungan Pogba dengan pengurus United, Jose Mourinho, menjadi perhatian utama selepas pemain tengah itu diketepikan dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Sevilla musim lalu.

Juara Serie A, Juventus, dikaitkan dengan bekas tonggak mereka itu sementara Barca juga dilaporkan berminat biarpun telah menandatangani pemain tengah, Arturo Vidal dan Arthur, menjelang musim baru LaLiga ketika bertandang ke Deportivo Alaves, awal pagi Ahad ini.

Biarpun Bartomeu bersikap terbuka untuk terus memancing lebih ramai pemain sebelum jendela perpindahan ditutup, presiden Barca itu mengatakan skuad sedia ada di bawah bimbingan Ernesto Valverde itu sudah cukup ampuh.

"Seperti yang anda ketahui, jendela perpindahan akan ditutup pada 31 Ogos dan kami masih meneliti pasaran pemain, namun tiada keperluan segera untuk menandatangani sesiapapun," kata Bartomeu.

"Kami berpuas hati dengan urusan perpindahan ketika ini, baik dengan ketibaan mahupun melepaskan pemain. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada individu-individu yang sering dilupakan: Ketua Eksekutif, Oscar Grau, Pengarah Urusan, Pep Segura, Pengarah Bola Sepak, Eric Abidal, dan pembantunya, Ramon Planes.

"Kami sedang membina skuad terbaik yang memiliki pengalaman, baik dari negara asal mahupun di tempat lain. Ini akan membantu kami untuk berjaya.

"Kami telah membawa masuk pemain muda seperti (Clement) Lenglet, Arthur dan Malcom, yang akan segera menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak di sini. Bagi Vidal, dia adalah pemain yang mempunyai pengalaman, kualiti dan karakter yang akan memberikan keseimbangan buat pasukan.

"Terdapat juga pemain muda seperti (Carles) Alena yang diserapkan dalam skuad utama dengan yang lain juga menyinar seperti (Juan) Miranda, Riqui Puig dan Abel Ruiz. Dengan latihan yang diberikan, saya pasti mereka akan menembusi pasukan utama tidak lama lagi."

Ikon Barca, Andres Iniesta, menyumbang dua gol untuk kelab barunya, Vissel Kobe, namun Bartomeu sudah bersedia untuk menyambut semula pemain tengah itu di Nou Camp.

"Tempohnya sebagai pemain di sini sudah berakhir tetapi dia akan kembali menjalankan tugas-tugas lain yang sudah kami bicarakan," kata Bartomeu.

"Kekaguman dan pengiktirafan terhada Iniesta bukan hanya datang daripada kami, malah daripada seluruh dunia bola sepak."