Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, menegaskan Neymar bukan untuk dijual selepas spekulasi perpindahannya yang melibatkan rekod dunia ke Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan media.

Juara enam kali Ligue 1 itu dilaporkan bersedia untuk membayar klausa perpindahan Neymar bernilai EUR222 juta (RM1.1 billion) selepas pemain Brazil berusia 25 tahun itu dikatakan menghadapi masalah di Barca.

Neymar juga dikatakan mahu mengelak daripada terus dibayangi oleh Lionel Messi dalam usaha untuk mencerahkan peluangnya meraih anugerah Ballon d'Or.

Bagaimanapun, dalam satu sesi temubual bersama Associated Press, Bartomeu menyifatkan Neymar akan kekal milik Barca sambil menegaskan PSG bakal melanggar undang-undang 'Financial Fair Play UEFA' jika meneruskan hasrat itu.

“Neymar masih memiliki kontrak selama empat tahun lagi dan semestinya kami akan berpegang kepada kontrak itu.

“Dia sebahagian daripada pasukan kami dan juga melengkapkan trio serangan Barca (bersama Messi dan Luis Suarez).

“Klausa ini mustahil untuk ditebus jika anda mematuhi undang-undang 'Financial Fair Play' tetapi jika tidak patuh, sudah tentu anda boleh melakukannya,” ujar Bartomeu.