Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, menggesa agar semua pemain, peminat dan jurulatih pasukan bersatu selepas ditunjukkan jalan keluar daripada Liga Juara-Juara musim 2017/18.

Skuad Blaugrana itu dikejutkan dengan kekalahan 3-0 di Stadium Olimpico di tangan AS Roma walaupun memegang kelebihan selepas menang 4-1 di Camp Nou, minggu lalu.

Pengendali Barca, Ernesto Valverde, tentunya berdepan situasi sukar di Sepanyol selepas pasukannya melalui musim ketiga berturut-turut gagal ke separuh akhir tatkala musuh ketat, Real Madrid, sedang cuba meraih kejuaraan ketiga Liga Juara-Juara dalam masa tiga tahun.

"Dikeluarkan daripada Liga Juara-Juara sudah pasti memberi kekecewaan besar buat peminat-peminat Barca tetapi ini adalah detik di mana penyokong, pemain-pemain dan barisan jurulatih perlu bersatu," kata Bartomeu menerusi Twitter.

Selepas dikecewakan Juventus di peringkat sama pada musim lalu, pemain tengah, Sergio Busquets, turut tidak menyembunyikan kekecewaan kali ini.

"Kami tewas dalam aksi sama musim lalu dan menjelaskan kami tidak mahukannya lagi.

"Sukar buat kami ketika ini kerana ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan yang kami mahu menangi," ujar Busquets.