BARCELONA 3 BOCA JUNIORS 0

Ernesto Valverde menyifatkan persembahan Luis Suarez bersama Barcelona akhir-akhir ini tidak menjadi kebimbangan apabila dia terus mempamerkan perkembangan untuk mengembalikan kepantasannya berikutan kempen Piala Dunia Russia.


Suarez turun dalam kesebelasan utama ketika Barca meraih kemenangan Supercopa de Espana ke atas Sevilla tempoh hari, namun rentaknya kelihatan 'berat'.

Penggempur Uruguay itu terlepas beberapa peluang yang biasanya boleh disudahkannya sementara hantarannya juga mencetuskan kebimbangan.

Dia tampil dari bangku simpanan ketika Barca mengatasi Boca Juniors 3-0 dalam aksi Trofi Joan Gamper awal pagi tadi sambil membekalkan bantuan gol kepada Rafinha, begitupun prestasinya dilihat masih jauh daripada tahap sebenar.

Bagaimanapun, Valverde tidak bimbang dengan merujuk kepada senario yang sama pada permulaan musim lalu, namun penyerang itu akhirnya meledak 25 gol LaLiga.

"Luis baik-baik saja," kata Valverde kepada wartawan dalam sidang media pasca perlawanan.

"Dia baru kembali daripada percutian (selepas mengharungi Piala Dunia Russia), oleh itu dia beransur-ansur mendapatkan kepantasan tetapi dia kelihatan baik.

"Luis adalah penjaring gol, dia agresif di kawasan itu. Kami tahu apa yang ditawarkannya kepada kami tanpa mengira hasilnya (di depan gawang), usaha itu selalu ada.

"Dia berdepan kritikan pada awal kempen musim lalu kerana mengambil masa untuk menemui sentuhan tetapi sebaik mendapat rentaknya, dia tidak berhenti-henti (menyumbat gol).

"Dia pasti akan berusaha keras di depan gawang. Ia mengenai soal kesabaran dan ketekunan, Luis mempunyai ketekunan."

Dalam aksi awal pagi tadi, Lionel Messi dan muka baru, Malcom, serta Rafinha termasuk dalam senarai penjaring.

Setelah mengetepikan Sevilla 2-1 dalam aksi Supercopa de Espana kelmarin, Barca akan mula mempertahankan gelaran LaLiga dengan menentang Deportivo Alaves, awal pagi Ahad ini.