Pemain tengah Sepanyol, Sergio Busquets, mengakui bahawa Barcelona perlu mendapatkan pemain baru, namun menolak dakwaan bahawa langkah itu perlu diambil selepas tewas 3-1 di tangan seteru utama, Real Madrid, dalam aksi pertama Piala Super Sepanyol.

Skuad kendalian Ernesto Valverde gagal mengambil kesempatan selaku tuan rumah selepas jaringan sendiri daripada Gerard Pique memberikan gol pendahuluan buat Madrid.

Biarpun Lionel Messi menyamakan kedudukan buat Barca, dua gol daripada Cristiano Ronaldo dan Marco Asensio memberikan kelebihan buat Los Blancos menjelang pertemuan kedua pada awal pagi Khamis.

Bagi Busquets, dia yakin pasukannya amat memerlukan sesuatu yang baru, terutama selepas penghijrahan Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) baru-baru ini.

“Barcelona tidak perlukan pemain baru hanya disebabkan oleh keputusan pada hari ini tetapi anda memerlukan sesuatu yang baru.

“Ia sesuatu yang sukar, namun kami akan bertandang ke Santiago Bernabeu dengan misi untuk bangkit dan tiada sebarang alasan buat kami,” katanya.

Pengarah Barcelona, Pep Segura, turut menambah bahawa kekalahan itu tidak mengganggu sebarang proses pasukannya dalam jendela perpindahan.

“Ia sesuatu yang mengecewakan penyokong-penyokong. Kami harus membuktikannya dengan kebangkitan di Bernabeu.

“Kami beraksi baik pada separuh masa pertama tetapi gol sendiri daripada Pique memberikan kesukaran buat kami,” ujar Segura.