AS ROMA 3 BARCELONA 0

AS Roma memadamkan kelebihan tiga gol yang dimiliki Barcelona apabila menang 3-0 dalam aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Olimpico, awal pagi tadi.


Setelah tewas 4-1 dalam aksi pertama di Camp Nou, skuad kendalian Eusebio Di Francesco jelas mahu menggunakan gol saguhati yang diraih menerusi Edin Dzeko pada minggu lalu sebagai pencetus untuk menunjukkan kebangkitan.

Amukan Roma di depan penyokong sendiri bermula seawal minit keenam perlawanan, apabila hantaran ke depan daripada Daniele De Rossi disambut kemas Dzeko, sebelum menolak bola masuk melepasi penjaga gol, Marc Andre Ter Stegen.

Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, Barca cuba memperkemaskan permainan bagi mencari gol penyamaan dan menyekat kebangkitan Roma.

Bagaimanapun, benteng Giallorossi yang dikemudi oleh Federico Fazio, Konstantinos Manolas dan Juan Jesus ternyata amat kebal bersama sokongan padu 58,000 penyokong di Olimpico.

Sebaliknya, Roma menambah jaringan kedua pada minit ke-58 menerusi sepakan penalti apabila Gerard Pique menjatuhkan Dzeko dan De Rossi tidak berdepan masalah untuk membuatkan Ter Stegen tewas buat kali kedua.

Sedar hanya satu jaringan mampu membawa pasukannya ke separuh akhir, Di Francesco mengubah taktikal kepada corak permainan lebih pantas apabila membawa masuk Cengiz Under dan Stephan El Shaarawy menggantikan Patrik Schick serta Radja Nainggolan.

Ternyata percaturan itu membuahkan hasil apabila sepakan sudut Cengiz dari sebelah kanan pantas disambar Manolas dengan tandukan untuk memastikan Roma mengikat kedudukan agregat 4-4.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan, menyaksikan Roma mengesahkan tempat dalam kelompok empat terakhir menerusi peraturan gol di tempat lawan.