REAL SOCIEDAD 2 BARCELONA 4

Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk melebarkan rekod tanpa kalah kepada 19 perlawanan LaLiga musim ini selepas menang 4-2 ke atas Real Sociedad dalam aksi di Estadio Anoeta, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, skuad kendalian Ernesto Valverde itu terlebih dahulu ketinggalan dua gol apabila Willian Jose menanduk masih bola hantaran Xabier Prieto pada minit ke-11 sebelum Juanmi melebarkan kedudukan dengan jaringan kedua pada minit ke-34.

Tersentak dengan dua gol awal, Barca mula memperkemaskan permainan dan Paulinho merapatkan jurang lima minit kemudian selepas menyempurnakan hantaran Luis Suarez dari jarak dekat.

Setelah babak pertama tamat dengan kedudukan 2-1, separuh masa kedua menyaksikan penguasaan penuh ditampilkan pelawat dan gol penyamaan hadir lima minit selepas permainan bersambung apabila Suarez yang menerima bola lorongan Lionel Messi bijak melambungkannya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Geronimo Rulli.

Suarez sekali lagi mencatat nama dalam senarai penjaring apabila meletakkan Barca di depan pada minit ke-71 selepas menggunakan kesempatan daripada kesilapan Rulli yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Peluang menerusi sepakan percuma pada minit ke-85 digunakan sebaik-baiknya oleh Messi apabila tendangannya melencong dan memerangkap Rulli, sekaligus mengesahkan kemenangan 4-2 buat pendahulu LaLiga itu.

Keputusan itu menyaksikan Barca masih belum tewas dalam semua aksi musim 2017/18, termasuk saingan di peringkat Eropah.