BARCELONA 1 VALLADOLID 0

Gerard Pique menuntut peningkatan dalam mutu permainan Barcelona selepas mereka kembali melakar kemenangan dalam saingan LaLiga apabila menewaskan Real Valladolid 1-0, awal pagi tadi.


Seri 2-2 dengan Valencia dan Athletic Bilbao [0-0] dalam saingan LaLiga sementara seri 1-1 dengan Real Madrid dalam aksi separuh akhir pertama Copa del Rey menggugat kedudukan Barca di takhta liga.

Jaringan menerusi sepakan penalti oleh Lionel Messi dalam separuh masa pertama sudah memadai untuk menewaskan Valladolid walaupun bekas penjaga gol Barca, Jordi Masip, cemerlang untuk menafikan sepakan penalti kedua Messi lima minit sebelum tamat permainan.

Ini bermakna Barcelona akan kembali ke aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Lyon dengan sekurang-kurangnya mendahului LaLiga dengan kelebihan enam mata.

Pique, yang mendapatkan sepakan penalti buat pasukan, percaya nasib yang sama tidak akan berlaku kepada mereka dalam saingan Eropah.

"Kami gagal bermain dengan baik," kata Pique.

"Berita baik buat kami adalah kemenangan, meraih tiga mata, tetapi kami perlu meningkatkan lagi mutu permainan."

Valverde merehatkan Ivan Rakitic manakala Arthur mengalami kecederaan hamstring dan Pique berasakan Barca bergelut mengawal permainan kerana Arturo Vidal terpaksa bergandingan dengan pemain muda, Carles Alena.

"Anda perlu mendapatkan kelancaran dalam permainan untuk menjulang gelaran.

"Jika kami tidak mampu mengubah rentak permainan, kami akan berubah menjadi pasukan yang lemah.

"Perkara ini perlu dipertingkat dan lawan mengetahui kelemahan kami."