Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan akan mempertimbangkan untuk melantik penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, S. Balachandran, sebagai pengendali baru skuad B-23 negara.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad senior, Tan Cheng Hoe, akan turut memantau skuad berkenaan.

Meskipun tidak menyebut jelas siapa calonnya, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata beliau mahu mencadangkan penolong jurulatih kepada Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan muda itu.

"Pertama, pasukan B-23 tiada perlawanan (dalam kejohanan besar) tahun ini, mereka ada perlawanan kelayakan tahun depan," katanya.

Balachandran adalah satu-satunya penolong jurulatih kepada Cheng Hoe dan telah bersama dengan bekas jurulatih Kedah itu sejak Februari 2018.

Hamidin berkata demikian ketika mengulas status ketua jurulatih skuad B-23 yang kekosongan sejak awal tahun ini selepas kontrak Datuk Ong Kim Swee tidak diperbaharui.

Mengulas mengenai keselamatan pemain Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), beliau berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan di Timur Tengah.

"Kami sudah dapat surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Setakat ini, masih dibenarkan (untuk bermain di sana)," tambahnya.

Malaysia akan bertemu Bahrain, 21 Mac depan, lima hari sebelum bertemu UAE.

-- BERNAMA