Penolong jurulatih skuad senior negara, S. Balachandran, berada dalam penilaian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee selaku ketua jurulatih skuad B-23 negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, tidak menafikan nama jurulatih itu berada dalam senarai panjang untuk dinilai oleh badan induk itu.

Menguatkan lagi desas-desus itu, FAM turut menekankan kepentingan kesinambungan corak permainan dan DNA bola sepak di antara kedua-dua pasukan itu.

"Bulan Mac dan Jun ini merupakan jendela FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) yang amat penting buat skuad kebangsaan.

"Kepentingan Tan Cheng Hoe dan pembantunya, jurulatih Bala, adalah untuk skuad senior.

"Jadi, dalam mesyuarat yang akan datang, kami akan membuat keputusan dan tidak mustahil untuk jurulatih Bala disenarai pendek," katanya.

Balachandran antara watak penting yang membantu ketua jurulatih, Cheng Hoe, menerapkan formasi 4-3-3 dalam skuad senior kebangsaan.

Skuad B-23 negara kehilangan Kim Swee selepas pengendali itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu.

"Kerjasama di antara skuad senior dan B-23 amat penting tetapi tidak bermakna individu itu adalah jurulatih Bala.

"Tetapi ia adalah antara unsur-unsur untuk kami memastikan ia sejajar dengan hala tuju kami," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa