Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, berharap bakat daripada pasukan Malaysia Warrior yang menjuarai Kejohanan Piala Global Yakult 2019 dapat diketengahkan menerusi kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Skuad cilik negara pulang ke tanah air setelah menjalani program selama tujuh hari melibatkan empat negara, Malaysia, Thailand, India dan tuan rumah, Jepun.

Mereka membuktikan pemain Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus Dr. Maszlee berharap program sebegini dapat diteruskan dalam misi mencari bakat muda dan melahirkan bintang bola sepak Malaysia kelak.

"Kami sentiasa membuka peluang kepada mereka untuk berjaya pada masa akan datang. KPM dan MSN sedia bekerjasama untuk mencungkil bakat dan meningkatkan mutu permainan pemain-pemain ini pada masa akan datang," katanya.

Di samping itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan bakat-bakat muda daripada pelan pembangunan bola sepak negara akan terus diberi pendedahan beraksi dalam kejohanan seperti Piala Global.

"Kami akan meneruskan program seperti apa yang telah diusahakan. Akademi Mokhtar Dahari (AMD) telah membuat perancangan dan Piala Global ini mampu menjadi sebahagian daripada program tersebut," kata Shapawi.