Dua tonggak senior Singapura, Baihakki Khaizan dan Sharil Ishak, tetap fokus dengan aksi persahabatan bertemu Malaysia malam ini walaupun kemungkinan tidak lagi bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II), musim depan.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengeluarkan kenyataan dua pemain Singapura itu tiada dalam perancangan JDT II musim depan.

Namun, bagi Baihakki, dia akan bertemu dengan Tunku Ismail bagi mendapatkan gambaran sebenar dan kini fokusnya adalah aksi berdepan Malaysia.

"Saya tak mahu berkata apa-apa mengenai kontrak saya kerana itu merupakan hal peribadi saya. Saya akan menguruskan perkara tersebut selepas pulang dari Hong Kong.

"Perlawanan yang lepas telah berlalu, kami tidak mahu terikut-ikut perlawanan yang lalu sama ada menang atau kalah.

"Perlawanan ini merupakan perlawanan yang baru, jadi kami mahu memberikan fokus kepada perkara yang ingin kami lakukan untuk malam ini daripada mengingati perlawanan yang lalu," jelas Baihakki.

Nada sama disuarakan Sharil, yang bertekad untuk merakam keputusan positif berdepan Malaysia, sekali gus memadam kekalahan 3-1 di tangan skuad negara dalam Piala Suzuki AFF 2014.

Sharil turut berwaspada dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee walaupun barisan negara kini dibarisi ramai muka baru.

"Perlawanan ini, kami lebih bermotivasi untuk menebus kekalahan lalu. Tetapi perlawanan malam ini merupakan perlawanan yang baru dan saya mengharapkan bahawa pasukan saya akan memberikan komitmen 100 peratus.

"Saya akan lebih profesional, kami mempunyai perlawanan malam ini dan saya hanya memikirkan tentang perlawanan malam ini. Mungkin selepas itu nanti saya akan bertemu dengan bos untuk membincangkan mengenai perkara tersebut (kontrak)," ujar Sharil.

Baihakki dan Sharil dijangka membarisi kesebelasan utama Singapura berdepan dengan skuad negara malam ini.