MALMO 1 CHELSEA 2

Cesar Azpilicueta berkata Chelsea sepatutnya menang dengan jurang yang lebih besar di Malmo selepas hanya menang 2-1 dalam pertemuan pertama pusingan 32 Liga Europa, awal pagi tadi.


Gol sumbangan Ross Barkley dan Olivier Giroud meletakkan pasukan kendalian Maurizio Sarri itu meniti landasan untuk mengakhiri empat kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan tanpa merakamkan sebarang gol.

Begitupun, kesilapan Mateo Kovacic memberi ruang kepada Anders Christiansen untuk menyumbat gol pada penghujung permainan, sekali gus mencetuskan harapan buat kelab Sweden itu menjelang pertemuan kedua minggu depan.

Biarpun Chelsea menunjukkan peningkatan yang sangat besar susulan kekalahan memalukan 0-6 kepada Manchester City di pentas Liga Perdana, Isnin lalu, Azpilicueta tetap kesal kerana gagal memastikan kemenangan bersih di Stadium Swedbank.

"Ia adalah kekalahan yang sukar Isnin lalu, namun kami beraksi untuk perlawanan di peringkat kalah mati dan adalah penting untuk bermula dengan baik," kata ketua pasukan Chelsea itu kepada BT Sport.

"Kami berpeluang untuk meraih keputusan yang lebih selesa tetapi mereka menjaringkan gol dan masih banyak lagi tugas yang perlu dibuat pada minggu depan.

"Dalam babak kedua, kami menguasai sepenuhnya permainan dan memiliki deretan peluang. Amat mengecewakan untuk melepaskan gol dan tidak meraih keputusan yang lebih baik.

"Kejohanan ini sangat penting. Kami berjuang untuk merebut trofi dan kelompok empat terbaik. Kami akan beraksi dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) menentang City minggu depan, setiap trofi adalah penting."

Chelsea akan kembali menyambung aksi Isnin depan apabila menjadi tuan rumah kepada Manchester United dalam pusingan kelima Piala FA.