"Tahun dan era baru tetapi tidak semestinya mereka yang dalam bilik ini (yang dipilih) harus berasa selesa." Demikian amanat yang disampaikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebaik diumumkan secara rasmi sebagai presiden baru dalam Kongres FAM Ke-53 bagi penggal 2017-2021, hari ini.

Tunku Ismail menggariskan ketelusan, keikhlasan dan integriti adalah elemen penting dalam melaksanakan tanggungjawab sambil mengingatkan mana-mana organisasi bola sepak di negera ini mengenai peranan rakyat dalam bola sepak.

"Saya akan sentiasa memantau dan memberi nasihat kepada ahli gabungan yang perlu saya bantu.

"Apa yang lebih penting, kita bersikap realistik, dedikasi dan keazaman dalam mencapai sasaran," ujar Tunku Ismail.

Sehubungan itu, antara perancangan terdekat Tunku Ismail adalah membersihkan 'rumah' FAM terlebih dahulu dalam usaha mengembali keyakinan peminat terhadap sukan nombor satu itu di negara ini.

"Saya ingin semua rakyat Malaysia berasa yang mereka bersama-sama kita semua untuk membangun dan memulihkan imej bola sepak tanah air.

"Jadi, apa yang mustahak adalah persepsi orang ramai terhadap organisasi ini.

"Untuk mendapatkan persepsi dan keyakinan yang baik, kita perlu menjadi contoh kepada yang lain mengenai cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kita.

"Tahniah kepada semua dan ayuhlah bekerja."

Dalam pada itu, Tunku Ismail memberi isyarat untuk melancarkan pelan jangka masa pendek dan panjang dalam menaikkan kembali imej bola sepak tanah air.

Tunku Ismail yang selaku pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah calon tunggal bagi jawatan presiden selepas Tan Sri Annuar Musa mengumumkan penarikan diri, kelmarin.

Senarai penuh Exco FAM penggal 2017-2021:

Presiden
Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim

Timbalan Presiden:
Datuk Seri Subahan Kamal
Datuk Mohd Yusoff Mahadi

Naib Presiden:
Mohd Joehari Mohd Ayob
Datuk Ab Ghani Hassan
Datuk S. Sivasundaram
Datuk Rosmadi Ismail

Exco Lelaki:
Superintendan Mohd Dali Wahid
Subkhiddin Mohd Salleh
Mohd Firdaus Mohamed
Christopher Raj
Datuk Jefferey Low Han Chow
Datuk Mohd Hisamudin Yahya
Datuk Azisman Alias
Datuk Aminuddin Omar

Exco Wanita:
Shafizah Umamah Abdul Mutalib
Datuk Suraya Yaacob

Kredit imej: FAM