Perlawanan pemanas badan menentang skuad B-23 Australia di Stadium Shah Alam, Ahad ini akan dimanfaatkan Datuk Ong Kim Swee sebagai medan bagi menguji barisan pemain yang kurang beraksi.

Ia bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik sebelum menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Shah Alam dari 22 hingga 26 Mac ini.

Ketua jurulatih skuad B-23 negara itu berkata dia perlu memberikan lebih banyak peluang kepada pemain yang kurang beraksi kerana mahu mereka berada dalam kecergasan terbaik untuk menghadapi kejohanan tersebut.

"Perlawanan ini bukan percubaan lagi dan saya akan menurunkan barisan pemain terbaik dalam perlawanan berkenaan.

"Saya mungkin memerlukan khidmat pemain yang jarang diturunkan untuk aksi pembukaan pusingan kelayakan menentang Filipina," katanya ketika ditemui Bernama malam tadi.

Kim Swee berkata perlawanan menentang Australia itu juga akan menjadi kayu pengukur terhadap persediaan pasukannya bagi menghadapi pusingan kelayakan AFC memandangkan pasukan lawan yang dibimbing Graham Arnold itu boleh dianggap antara pasukan terbaik di benua Asia ketika ini.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Melaka itu yakin 27 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat kali ini tidak berdepan masalah walaupun mereka terlibat dalam pelbagai pertandingan tempatan, termasuk Piala Belia (B-19), Piala Presiden (B-21) dan Liga Perdana.

Ia kerana mereka telah mendapatkan khidmat pegawai dari Institut Sukan Negara (ISN).

Malaysia, yang menjadi tuan rumah Kumpulan J dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC, bakal membuka kempen dengan menentang Filipina pada 22 Mac, Laos (24 Mac), sebelum menamatkan pusingan awal menentang China dua hari kemudian.

Berdasarkan format kejohanan, 10 juara kumpulan dan lima pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan akhir di Thailand.

Thailand pula layak ke pusingan akhir itu selaku tuan rumah.

-- BERNAMA