Kapten Borussia Dortmund, Marcel Schmelzer, memuji kehebatan Pierre-Emerick Aubameyang dan berkata penting untuk kelab itu memastikan pemain penyerang itu kekal dalam Bundesliga.

Pemain berusia 28 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa gergasi Eropah, antaranya Real Madrid, Liverpool dan Arsenal.

Penyerang Gabon itu merupakan penjaring terbanyak dalam Bundesliga musim lalu dengan 31 gol daripada 32 perlawanan.

Schmelzer -- yang bakal terlepas aksi pembukaan liga ekoran kecederaan buku lali -- teruja melihat Aubameyang kekal di kelab itu.

"Penting untuk dia kekal bersama kami. Dia penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu. Itu bukti betapa pentingnya dia," kata pertahanan Jerman itu.

"Dia penyerang yang kami perlukan. Kami sering menegaskan jika dia mahu keluar, kami akan faham tetapi sudah tentu kami gembira jika dia memilih untuk kekal.

"Dia juga mampu bertutur dalam bahasa berbeza, jadi itu juga salah satu sebab mengapa dia penting untuk kami.

"Dia juga seorang yang kelakar."

Aubameyang berhijrah ke Dortmund pada 2013 selepas berkhidmat bersama Saint-Etienne.