REAL MADRID 3 ROMA 0

Sepakan percuma Isco membentuk landasan terbaik bagi Real Madrid mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dengan meraih kemenangan 3-0 ke atas Roma, awal pagi tadi.


Real meletakkan sasaran untuk menjuarai UCL buat kali keempat berturut-turut dan skuad kendalian Julen Lopetegui itu beraksi cemerlang dalam aksi sulung Kumpulan G di Santiago Bernabeu.

Isco menggantikan Cristiano Ronaldo -- yang dilayangkan kad merah ketika beraksi bersama Juventus berdepan Valencia -- untuk mengambil sepakan percuma, cemerlang menghasilkan jaringan pembukaan buat Los Blancos.

Gareth Bale yang meledak dua gol ketika membantu Real menewaskan Liverpool dalam aksi final musim lalu, memastikan tiga mata diraih apabila menyempurnakan hantaran Luka Modric manakala pemain gantian, Mariano, melengkapkan kemenangan Real.

Bale memiliki peluang terhidang pada minit keempat tetapi percubaannya tersasar sebelum Robin Olsen menafikan rembatan Isco.

Toni Kroos dan Bale membazirkan beberapa lagi peluang dan Olsen berusaha memastikan gawang Roma kebal, namun ia sekadar bertahan hingga penghujung separuh masa pertama.

Daniele De Rossi menjatuhkan Isco dan bintang Sepanyol itu kemas melepaskan percubaan daripada sepakan percuma untuk membenarkan Real mendahului perlawanan.

Bale tidak ketinggalan untuk mencipta jaringan dalam aksi sulung musim 2018-19 selepas berjaya menampan masuk hantaran Modric.

Pemain gantian, Marco Asensio, hampir menambah jaringan tetapi Mariano yang kembali ke Real selepas berhijrah daripada Lyon, melengkapkan kemenangan pasukannya.