LEGANES 0 REAL MADRID 1

Gol pada minit-minit akhir perlawanan oleh Marco Asensio membolehkan Real Madrid menarik nafas lega apabila menundukkan Leganes 1-0 dalam aksi pertama pusingan suku akhir Piala Raja Sepanyol di Estadio Butarque, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Zinedine Zidane itu gagal mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini apabila terikat seri ketika menentang Celta Vigo dan Numancia sebelum aksi pada Sabtu lalu menyaksikan mereka tewas mengejut 1-0 kepada Villareal di tempat sendiri.

Bagaimanapun, menentang anak-anak buah Asier Garitano, Real Madrid mempertaruhkan barisan muda apabila meletakkan Asensio, Borja Mayoral dan Lucas Vazquez di barisan depan.

Rembatan Javier Eraso dari luar kotak penalti selepas 30 minit permainan sekadar melewati palang gol pelawat dan ia adalah satu-satunya percubaan bahaya daripada kedua-dua pasukan dalam aksi babak pertama yang agak hambar.

Vazquez dan Luka Modric berbalas hantaran sebelum pemain sayap Sepanyol itu menggelecek tiga pertahanan Leganes, namun asakannya sempat dihalang oleh penjaga gol, Nereo Champagne, pada minit ke-70.

Tiga minit kemudian, giliran Claudio Beauvue menguji kekebalan gawang pelawat yang dikawal Kiko Casilla menerusi satu percubaan kaki kanan yang ditepis keluar oleh bekas penjaga gol Espanyol itu.

Bagaimanapun, gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba ketika aksi berbaki seminit apabila Asensio meluru masuk ke dalam kotak penalti untuk menyambut bola hantaran Theo Hernandez sebelum melepaskan sepakan voli, sekali gus memastikan gol kemenangan buat Los Blancos.

Perlawanan timbal-balik akan dilangsungkan pada 25 Januari di Santiago Bernabeu.