Walaupun membuka tirai jaringan di Emirates, AC Milan terpaksa menerima hakikat tewas 3-1 di tangan Arsenal, sekali gus gagal mara ke suku akhir Liga Europa dalam aksi awal pagi tadi.

Beraksi di tempat lawan, Rossoneri yang dikendalikan oleh Gennaro Gattuso, turun dengan misi untuk memadamkan defisit dua gol yang diraih Arsenal dalam aksi pertama di San Siro.

Namun, The Gunners lebih garang apabila Laurent Koscielny hampir menjadikan kedudukan 1-0 menerusi tandukan hasil sepakan sudut tetapi tersasar.

Usaha Milan tampak memiliki harapan cerah apabila sepakan bebas Hakan Calhanoglu dari luar kotak penalti pada minit ke-35 membolehkan Milan merapatkan jurang menerusi agregat.

Bagaimanapun, gol itu hanya sempat bertahan selama empat minit apabila Ricardo Rodriguez didakwa menarik Danny Welbeck di dalam kotak penalti sebelum penyerang England itu mudah menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan.

Henrikh Mikhtaryan hampir meletakkan The Gunners dalam kedudukan selesa pada minit terakhir separuh masa pertama menerusi tandukan, namun percubaan bintang Armenia itu sipi di sebelah kanan gol.

Pemain tengah, Granit Xhaka, meruntuhkan semangat Milan menerusi gol kedua selepas dia mengambil kesempatan daripada ruang terbuka di depan kotak penalti untuk melepaskan rembatan padu kaki kiri pada minit ke-71 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Welbeck menamatkan sisa perjuangan skuad bimbingan Gattuso itu dengan gol kedua peribadi menerusi tandukan selepas situasi kelam-kabut di depan gawang yang dikawal Gianluigi Donnarumma ketika perlawanan berbaki empat minit.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat, membolehkan Arsenal menempatkan diri dalam kelompok lapan terakhir dengan agregat 5-1.