Khairul Fahmi Che Mat mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki meskipun pasukannya mencatat keputusan positif seri 1-1 ketika menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Khairul Fahmi yang mesra disapa Apek, menggalas tugas selaku penjaga gol utama negara ketika berdepan Afghanistan selepas diketepikan dalam pertemuan menentang Singapura, 7 Oktober lalu.

Penjaga gol Kelantan itu tampak berjaya mempamerkan aksi memuaskan walaupun dibolosi satu gol pada babak pertama.

Ketika skuad negara dianggap mempamerkan sedikit peningkatan berbanding pertemuan menentang Indonesia dan Singapura, Apek menyuarakan pandangan berbeza.

"Banyak yang perlu diperbaiki, untuk itu kami perlu tingkatkan usaha lagi.

"Untuk panggilan skuad kebangsaan selepas ini, kami perlu berlatih dengan lebih gigih untuk persediaan menghadapi Piala AFF," katanya.

Perancang tengah negara, Baddrol Bakhtiar, dan pemain pertahanan, Shahrom Kalam, pula mengambil pendekatan positif apabila berasakan skuad negara mula kembali berada di landasan tepat menjelang Piala AFF Suzuki, bulan depan.

"Kami bermain sebagai satu pasukan mengikut arahan jurulatih. Bagi saya sendiri dan pasukan, kami berpuas hati kerana Afghanistan merupakan sebuah pasukan yang kuat dan laju," terang Baddrol ringkas.

"Keputusan ini sangat positif. Kami fokus kepada satu-satu perlawanan kerana kami cuba nak dapatkan momentum.

"Tapi bagi saya, skuad ini dalam keadaan positif kerana kami dapat bangkit, lagipun saya tengok semangat berpasukan juga kuat.

"Jadi saya sangat gembira," kata Shahrom Kalam pula.