Selepas episod terumbang-ambing sejak beberapa musim lalu, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, meletakkan sasaran tahun 2019 untuk menyaksikan kebangkitan semula skuad Bumi Kenyalang.

"Kami telah mula mengkaji kelemahan dan kesilapan dan mencatur strategi. Justeru, antara tindakan awal yang kami ambil termasuk membawa masuk jurulatih pro-A yang berpengalaman dengan corak permainan rantau ini, Ian Andrew Gillan.

"Gillan akan memimpin pasukan senior pada musim ini dan berperanan sebagai pengarah teknikal, yang akan akan melihat program pembangunan dan membentuk pasukan pelapis," katanya.

Bagi Posa, kemasukan Gillan seolah-olah memberi hala tuju baru kepada pasukan dan membuka "sejalur cahaya" di sebalik pelbagai kekangan yang dihadapi kebelakangan ini.

"Kami kehilangan banyak pemain berbakat musim ini tetapi kami terima hakikat itulah bola sepak, yang kini di tahap komersial dan profesional.

"Selepas ini, kami akan membuka pintu kepada bakat-bakat baru untuk melalui bimbingan dan program baru. Pasukan ini diharap dapat melangkah jauh. Kami mahu kembali ke Liga Super pada musim depan dan kalau boleh memeluk mana-mana piala," ujarnya.

Posa, yang juga pengurus pasukan Liga Perdana Sarawak musim ini, berkata biarpun menjanjikan 100 peratus anak tempatan pada musim lalu, perancangan tersebut terpaksa ditukar pada saat-saat akhir.

"Kami tidak ada pilihan kerana di sebalik penghijrahan beberapa pemain yang diharap menjadi tulang belakang, yang berbaki adalah pemain yang terlalu muda dan berumur.

"Kami faham akan situasi yang dialami oleh ketua jurulatih (Gillan) yang terhimpit pilihan selain dikekang bajet yang kecil.

"Justeru, kami setuju pintu kepada pemain luar Sarawak dibuka semula. Kami berharap pemain-pemain yang bakal dipilih ini dapat mencurahkan pengalaman dan membimbing pemain muda yang ditampilkan," katanya.

Tambah Posa, mereka juga diharap dapat membantu strategi Gillan untuk lebih berkesan pada musim ini.

Jelasnya, ketika ini sekurang-kurangnya dua pemain dari Semenanjung telah diikat manakala beberapa pemain lain masih dalam perhatian.

"Beberapa pemain asing juga diramal mengisi kuota import yang kini sedang dalam ujian pemilihan.

"Kami begitu berhati-hati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali, tersilap memilih pemain import bermakna kami membazirkan kewangan yang sedia terhad," katanya lagi.

Sarawak menyasarkan lima kedudukan teratas Liga Perdana musim ini, dengan bajet sekitar RM15 juta.