Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti, yakin Manuel Neuer dan Thomas Muller akan kembali cergas untuk perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Real Madrid.

Neuer terlepas aksi ketika Bayern merakamkan kemenangan 6-0 ke atas Augsburg kerana mengalmi kecederaan kaki manakala kecederaan buku lali memaksa Muller turut diketepikan.

Gandingan itu akan terlepas aksi berdepan Hoffenheim dan hanya perlu berada di tepi padang menyaksikan pertembungan dengan musuh ketat, Borussia Dortmund, pada Sabtu, tetapi Ancelotti berharap mereka dapat diturunkan ketika menerima kunjungan Real.

"Manuel sudah mula menjalani latihan pada Isnin," kata Ancelotti.

"Dia akan kembali pulih sepenuhnya ketika bertemu Real.

"Muller memerlukan rehat selama dua hari. Kami akan memantau tahap kecederaannya sama ada dapat diturunkan berdepan Dortmund ataupun tidak.

"Dia tidak menjalani latihan semalam tetapi saya menjangka Muller akan kembali berlatih pada Rabu."