Napoli telah melantik Carlo Ancelotti sebagai pengurus baru menggantikan Maurizio Sarri melalui kontrak selama tiga tahun.

Sarri terpaksa berpisah dengan Napoli selepas presiden, Aurelio De Laurentiis, berpendapat sudah tiba masa untuk pengendali itu meninggalkan Partenopei sambil kini dikaitkan dengan jawatan di Chelsea.

"Napoli gembira untuk mengumumkan bahawa persetujuan telah dicapai bersama Carlo Ancelotti untuk mengendalikan pasukan selama tiga tahun bermula pada musim 2018/19," kata satu kenyataaan kelab, semalam.

Napoli meraih kutipan mata sebanyak 91 mata dan memecahkan rekod kelab, namun masih gagal untuk mengekang Juventus daripada meraih kejuaraan Serie A ketujuh berturut-turut.

Ancelotti, yang tidak mengendalikan mana-mana pasukan sejak dipecat Bayern Munich pada September lalu, kini berdepan tugas untuk menyekat dominasi pasukan kendalian Massimiliano Allegri itu yang meraih kejuaraan domestik berganda selama empat musim berturut-turut.

Dia yang kini berusia 58 tahun mula dikaitkan untuk kembali ke dunia bola sepak Itali apabila menjadi calon memegang jawatan pengurus skuad kebangsaan Itali sebelum Roberto Mancini dipilih pada awal bulan ini.

"Saya gembira dapat kembali ke negara sendiri dan mengendalikan salah sebuah pasukan terbaik di Itali.

"Saya berada di sini untuk bersaing dan memberikan segala ilmu serta pengalaman. Kami teruja dengan cabaran ini dan mahu membuka lembaran baru dalam bola sepak.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada presiden kerana mempercayai saya. Kepada penyokong-penyokong, kami akan berusaha keras dan penuh profesional untuk mencapai sasaran. Saya berharap ia akan dapat dinikmati bersama," ujar Ancelotti.

Untuk rekod, Ancelotti telah memenangi kejuaraan Serie A ketika bersama AC Milan pada musim 2003/04, memenangi Liga Perdana Inggeris ketika menguruskan Chelsea serta menjulang trofi Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain (PSG) pada 2013.

Dia juga meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah yang ketiga selaku pengurus sewaktu mengendalikan Real Madrid pada 2013/14, memenangi LaLiga dalam musim yang sama sebelum menggantikan Pep Guardiola di Bayern Munich.