Carlo Ancelotti mengucapkan terima kasih kepada 'keluarga' Bayern Munich apabila kelab itu memastikan mahkota Bundesliga buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Wolfsburg 6-0, awal hari ini.

Seri tanpa jaringan aksi RB Leipzig menentang skuad bawahan, Ingolstadt, yang berlangsung sebelum itu membuka pintu untuk Bayern mengekalkan gelaran lebih awal.

Dan ia jelas terjamin apabila gol sepakan percuma menarik daripada David Alaba dan dua jaringan Robert Lewandowski meletakkan mereka di depan 3-0 pada separuh masa pertama.

Jaringan babak kedua daripada Arjen Robben, Thomas Muller dan Joshua Kimmich mengesahkan kejuaraan mereka, memastikan Ancelotti menjadi jurulatih pertama memenangi kejohanan kebangsaan dalam empat daripada lima liga utama Eropah selepas kejayaan di AC Milan, Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG).

Ia juga akan mengurangkan kekecewaan Bayern dalam DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara.

"Saya amat gembira. Saya bernasib baik berada di kelab hebat ini dengan pemain dan peminat yang bijak," kata jurulatih berbangsa Itali itu.

"Saya mempunyai sokongan kuat daripada (Karl-Heinz) Rummenigge dan semua di kelab itu. Ia begitu penting bagi pengurus. Saya sangat bertuah.

"Saya rasa kelab ini adalah sebuah keluarga dan saya berada dalam keluarga ini.

"Motivasi adalah benar-benar tinggi hari ini. Sudah tentu dua minggu lalu ia sukar tetapi kami menggunakannya sebagai motivasi. Kami benar-benar boleh menikmati masa ini.

"Kami boleh melakukan dengan lebih baik. Kami mungkin bernasib baik dalam beberapa keadaan dalam Liga Juara-Juara dan Pokal. Kami boleh belajar daripada ini dan menjadi lebih baik pada musim akan datang."