Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti, gembira dengan prestasi yang dipamerkan James Rodriguez dalam kemenangan 3-0 ke atas Schalke dalam Bundesliga di Veltins-Arena, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dia berkata penyerang itu belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya selepas mengalami kecederaan paha.

Rodriguez, 26, menandakan penampilan pertamanya dalam Bundesliga dengan satu gol bagi membantu Bayern mendaki puncak liga.

Ancelotti memuji pemain antarabangsa Colombia yang dipinjam dari Real Madrid itu tetapi menjelaskan dia masih perlu berusaha bagi memulihkan kecergasannya.

"Dia melakukan dengan baik, dia membuat persembahan yang baik. Dia bermain bersama pasukan dengan membentuk kombinasi yang baik," kata Ancelotti.

"Saya fikir dia perlu meningkatkan tahap kecergasan fizikalnya kerana masih belum capai 100 peratus tetapi apa yang dia lakukan hari ini adalah sangat baik."

Robert Lewandowski membuka jaringan untuk Bayern dari tempat penalti sebelum gol dihasilkan Rodriguez dan Arturo Vidal.

Ancelotti secara keseluruhan berpuas hati dengan aksi pasukannya sambil berkata: "Persembahan itu bagus dari awal hingga akhir.

"Kami bermain dengan intensiti tinggi, bermain secara menyerang dengan baik, kukuh ketika bertahan. Saya fikir semuanya baik."

Bayern akan beraksi lagi apabila mereka menerima kunjungan Wolfsburg pada awal pagi Sabtu ini.