Carlo Ancelotti menjelaskan Arturo Vidal tidak akan dijual musim panas ini, sebaliknya Renato Sanches berkemungkinan meninggalkan Bayern Munich sebelum berakhirnya jendela perpindahan, bulan depan.

Bayern telah membawa masuk pemain tengah, Corentin Tolisso, Sebastian Rudy, James Rodriguez dan Serge Gnabry.

Persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan di Allianz Arena akan bertambah sengit pada 2017-18 tetapi Ancelotti tidak merancang untuk membenarkan pemain kebangsaan Chile itu meninggalkan pasukan.

"Kami tidak akan melepaskan Vidal," kata Ancelotti.

"Dia adalah pemain kami. Saya meletakkan kepercayaan serta yakin Vidal tidak akan meninggalkan pasukan musim panas ini."

Jaminan yang sama tidak dilontarkan kepada Sanches, dengan pemain kebangsaan Portugal itu bergelut untuk mencari rentak permainannya selepas berhijrah dari Benfica.

"Buat masa ini, dia masih berlatih dengan kami. Kami masih lagi memiliki masa untuk membuat keputusan. Terdapat kemungkinan dia akan berhijrah dan juga peluang untuk terus bersama kami."