Ketua jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti, sedang berusaha memujuk Renato Sanches untuk menyokong AC Milan serta memberikan bayangan pemain tengah Portugal itu mungkin menyertai kelab Serie A itu.

Selepas menandatangani pemain tengah Itali, Leonardo Bonucci, dari Juventus, Sanches kini menjadi sasaran terbaru Milan untuk memperkukuhkan lagi pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, mencadangkan kelab mungkin tidak akan bersetuju untuk menjual Sanches tetapi sedia dipinjamkan untuk beraksi di San Siro.

Bercakap menjelang pertemuan berdepan Milan dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Shenzhen, Ancelotti menyatakan bahawa Sanches masih lagi berpeluang untuk menyertai bekas kelabnya.

"Milan sedang melalui perubahan yang drastik. Mereka telah membawa masuk ramai pemain dan impak daripada pemilik baru mereka (Li Yonghong bersama Rossoneri Sport Investment Lux)2`, memainkan peranan yang penting.

"Saya berharap mereka akan memiliki musim yang sangat baik. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan jurulatih Milan, Vincenzo Montella, dan saya berpendapat beliau telah melakukan tugas dengan baik pada musim lalu.

"Mereka kini mempunyai pasukan yang lebih berkualiti dan mereka akan kembali merebut Scudetto, musim hadapan.

"Buat masa ini, Sanches berkhidmat untuk kami, tetapi saya sedang berusaha untuk menjadikan pemain itu sebagai penyokong Milan."