Perayaan Piala Dunia 2018 oleh Perancis tidak mengenal sempadan di Moscow yang menyaksikan pemain mencerobohi sidang media Didier Deschamps dan menyembur jurulatihnya dan anggota media dengan champagne.

Skuad bimbingan Deschamps itu memperagakan satu lagi aksi mantap awal pagi tadi untuk mengatasi Croatia 4-2 sebelum menjulang trofi dalam suasana hujan lebat.

Kylian Mbappe dan Paul Pogba mencetak gol buat Les Bleus, kedua-duanya melalui rembatan dari luar kotak penalti manakala Antoine Griezmann akan menjadi sebutan di tanah airnya selepas dia menyempurnakan penalti dalam babak pertama.

Setelah meraikannya di lapangan dalam hujan lebat, Deschamps agak lega untuk mengeringkan dirinya sempena sesi bertemu media antarabangsa.

Namun, sebelum dia dapat menjawab soalan pertama, 13 anggota skuadnya muncul di dalam bilik media itu dengan melaungkan nama Deschamps dan menyemburkan minuman keras itu ke arahnya dan wartawan.

Kira-kira seminit selepas itu, pemain -- dengan Pogba dalam kalangan kumpulan itu -- kemudian berpura-pura menghilangkan diri untuk meraikan kejayaan di dalam stadium.

Bagaimanapun, enam daripada mereka sekali lagi muncul dengan memeluk Deschamps dan menari di atas meja.

"Mereka benar-benar gila," kata Deschamps sebaik mereka meninggalkan tempat kejadian. "Maaf, mereka muda dan gembira."

Namun, Deschamps mempunyai banyak masa untuk meraikan kejayaan skuadnya selepas mereka meraih gelaran Piala Dunia kedua susulan kejayaan pada 1998.