SHKUPI 0 RANGERS 0

Steven Gerrard melepasi rintangan pertamanya sebagai pengurus Rangers apabila seri 0-0 di Shkupi awal pagi tadi untuk mengesahkan tempat dalam pusingan kelayakan kedua Liga Europa.


Membawa bekalan 2-0 ke Macedonia, skuad Liga Perdana Scotland itu melakukan apa yang diperlukan untuk memastikan pertemuan dengan kelab Croatia, Osijek, atau kelab Moldova, Petrocub.

Rangers bergelut dalam sebahagian besar perlawanan untuk mengulangi dominasi permainan dalam kemenangan di Ibrox, dan jaringan James Murphy dan James Tavernier terbukti menjadi bekalan berguna buat mereka.

Bagaimanapun, mereka jarang mencetuskan masalah dalam pertemuan kedua sehingga terpaksa melalui detik mendebarkan untuk mengekalkan rekod kebal mereka buat kali kedua berturut-turut.

Shkupi mencipta momentum panik pertama pada minit ke-9 apabila bola singgah di kaki Ron Broja tetapi percubaannya disekat sebelum segera dikeluarkan.

Rangers kembali berdepan detik getir pada awal 20 minit permainan yang menyaksikan Allan McGregor tangkas menafikan dua percubaan Blazhe Ilijoski.

Begitupun, tuan rumah terus buntu untuk merobek gawang lawan dan usaha mereka untuk memadam defisit jaringan bertambah sukar selepas Basil Nchama diusung keluar sebelum separuh masa pertama berakhir.

Pemain tengah Rangers, Josh Windass, mempamerkan kelincahan pada awal 45 minit kedua dengan melancarkan asakan bertali arus sehingga menuntut ketangkasan Suat Zendeli.

Penjaga gol itu berada di tahap terbaiknya untuk menghalang sepakan percuma Tavernier ketika permainan berbaki 25 minit sebelum pemain gantian, Glenn Middleton, gagal menyudahkan peluang di depan pintu gol.

Ketumpulan di bahagian serangan tidak menjejaskan Rangers meskipun McGregor perlu membuat aksi menyelamat terakhir pada penghujung permainan untuk pelawat yang perlu melalui tiga perlawanan lagi untuk mengesahkan tiket di peringkat kumpulan.