Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, memuji sumbangan yang telah diberikan oleh Claudio Marchisio kepada pasukannya setelah pemain tengah itu menamatkan kontraknya atas persetujuan bersama.

Pemain berasal dari Turin yang berusia 32 tahun itu muncul selaku ejen bebas semalam selepas melakukan 389 penampilan buat pasukan yang diwakilinya sejak kecil itu.

Pengaruh yang diberikan oleh Marchisio dalam pasukan dilihat terkandas dalam beberapa musim terakhir susulan episod kecederaan yang dialami, termasuk masalah pada bahagian lutut pada April 2016.

Liga Bolasepak Utama(MLS) dilaporkan bakal menjadi destinasi pilihan buat bekas tonggak tengah Itali itu yang menyarung jersi skuad Azzurri dalam Piala Dunia 2010 dan 2014.

Dia meninggalkan Juve selaku pemenang tujuh kali Scudetto, dengan empat daripadanya sewaktu berada di bawah bimbingan Allegri.

"Secara peribadi, saya perlu mengucapkan terima kasih kepada Marchisio kerana membuktikan diri sebagai pemain yang hebat sepanjang empat tahun bersama saya selain muncul selaku individu yang bagus, sangat profesional dan menjadi contoh kepada pemain lain.

"Marchisio telah bersama Juventus selama 25 tahun dan kami mengambil keputusan itu bersamanya untuk menamatkan kontrak. Dia juga akan mendapatkan cabaran baru di tempat lain," kata Allegri.

Secara keseluruhan, Marchisio beraksi dalam 11 musim Serie A, menembusi skuad utama Juve ketika pertengahan musim 2006/07.

Dalam masa sama, juara Itali itu juga telah mendapatkan khidmat pemain berusia 20 tahun dari Arsenal, Stephy Mavididi.

The Gunners mengesahkan bahawa penyerang itu akan menyertai pasukan muda Juve, selepas menikmati tempoh pinjaman bersama Charlton Athletic dan Preston North End, sebelum ini.