TORINO 0 JUVENTUS 1

Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, mengakui dia tidak sanggup menyaksikan sepakan penalti yang diambil tonggak pasukan, Cristiano Ronaldo, ketika pasukannya menewaskan Torino 1-0 dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.


Juara bertahan itu beraksi di bawah tahap sebenar, namun memperoleh peluang terbaik meraih kemenangan selepas penjaga gol lawan, Salvador Ichazo, menjatuhkan Mario Mandzukic dalam kawasan penalti.

Ichazo, yang melakukan penampilan Serie A pertama buat Torino sejak Januari 2016, hampir menjadi wira tuan rumah sebaik menahan bola sepakan penalti Ronaldo, namun bola itu meleret masuk ke gawangnya.

Di sebalik jaringan yang tidak meyakinkan itu, Allegri mendedahkan dia berpaling daripada sepakan penalti yang diambil Ronaldo itu.

"Saya tidak melihat jaringan penalti itu, saya berpaling ke belakang.

"Secara jujurnya, saya tidak sanggup melihat sepakan itu diambil.

"Saya mengarahkan pemain untuk berkorban sehabis mungkin.

"Kami mungkin tidak dapat menjaringkan banyak gol dalam perlawanan itu.

"Apabila Torino mengendurkan rentak mereka, kami mula mendominasi perlawanan.

"Kami mendominasi babak kedua dan itu membuktikan kami masih berada dalam prestasi yang baik," katanya kepada DAZN selepas Juventus memperoleh lapan kemenangan liga berturut-turut dan berkelebihan 11 mata di kedudukan teratas.

Bercakap mengenai jaringannya itu, Ronaldo menegaskan dia melakukan keputusan yang tepat.

"Penjaga gol mereka membaca sepakan itu dengan baik, namun saya menyepaknya dengan kelajuan yang tinggi.

"Ia mengakibatkan jaringan itu terhasil.

"Ia tidak mudah, namun kami lebih layak menang," katanya.