NAPOLI 1 JUVENTUS 1

Massimiliano Allegri memuji keputusan seri 1-1 yang dirakamkan oleh Juventus dalam aksi Serie A berdepan Napoli yang membuktikan kualiti sebenar mereka sebagai juara.


Pendahulu liga itu membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Sami Khedira tetapi permainan dikawal penuh oleh pasukan tuan rumah di Stadio Sao Paolo.

Kapten Napoli, Marek Hamsik, menyamakan kedudukan dalam separuh masa kedua, namun gagal mencari gol kemenangan walaupun memberikan tekanan kepada Juve, yang kini dalam misi menjulang takhta liga buat kali keenam.

"Pada awal permainan, kami bermain dengan cemerlang. Selepas kami mendahului, kami membenarkan Napoli menguasai permainan dan kami sudah tidak lagi menghasilkan peluang menjaringkan gol.

"Anda memenangi takhta liga menerusi perlawanan-perlawanan seperti ini, dengan meraih mata yang sukar di tempat lawan. Empat perlawanan seterusnya, kami akan beraksi di laman sendiri.

"Saya memuji pemain-pemain saya. Walaupun permainan dikuasai pasukan lawan, mereka berjaya mengelak daripada ketinggalan di dalam perlawanan ini."

Gonzalo Higuain, yang bergelut mencipta impak dalam aksi pertamanya berdepan bekas pasukannya sejak menyertai Juve, gagal untuk menyentuh bola di dalam kotak penalti Napoli sepanjang perlawanan tetapi Allegri membela persembahan penyerang itu.

"Higuain mengharungi persembahan yang baik, terutama sekali dalam separuh masa pertama, saya yakin dia mampu memberikan yang lebih baik dalam perlawanan akan datang," kata Allegri.