Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, menegaskan pasukannya "masih belum mati" walaupun tewas 0-2 kepada Atletico Madrid dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Juve tewas kepada dua gol lewat permainan yang dijaringkan Jose Gimenez dan Diego Godin walaupun mereka terselamat daripada gol awal Alvaro Morata yang dibatalkan sistem video bantuan pengadil (VAR).

Dengan Juve, yang berdepan kesukaran untuk layak suku akhir menjelang aksi kedua di Turin bulan depan, Allegri mendakwa pasukannya dipaksa beraksi buruk oleh tuan rumah.

"Aksi dalam babak kedua amat buruk, kami melakukan kesilapan ketika cuba menewaskan mereka," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Atletico amat hebat untuk memenangi perlawanan tanpa sebarang percubaan tepat ke gawang kami.

"Kami berdepan risiko ketika cuba melakukan serangan dan kehilangan bola, namun sebenarnya kami tidak melakukan sebarang percubaan tepat dalam babak kedua.

"Atletico lebih agresif ketika situasi bola mati dan menewaskan kami dalam keadaan yang mengejutkan.

"Kami masih berpeluang untuk menterbalikkan keputusan perlawanan. Kami perlu mempunyai keyakinan itu.

"Kami akan kembali diperkuatkan dengan beberapa pemain lain dan tiada gunanya menangisi sesuatu yang sudahpun berlaku.

"Kami sedar ia akan menjadi tugas yang sukar apabila Atletico memaksa kami beraksi buruk dengan tempo yang perlahan.

"Kami cuba melajukan rentak, namun tidak berjaya dalam babak kedua.

"Pendekatan kami salah, itu sahaja.

"Perkara seperti ini boleh terjadi, ia pasti kekecewaan yang besar, namun kami mampu untuk mengubahnya.

"Ia bukan mudah, kami memerlukan aksi timbal balik yang hebat.

"Untuk itu berlaku, kami memerlukan keyakinan.

"Kami masih belum mati, kami masih tidak mati ketika tewas 0-3 di laman sendiri sewaktu saingan peringkat kumpulan.

"Jangan ganggu saya buat masa ini, kami masih ada aksi kedua di laman sendiri.

"Apa yang penting adalah kami perlu mengekalkan fokus, kembali memperkuatkan pasukan dan terus meningkatkan keyakinan.

"Segala-galanya mampu berubah," katanya.

Aksi timbal balik akan berlangsung di Turin, 12 Mac depan.