JUVENTUS 3 CHIEVO 0

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, enggan memanjangkan kisah kegagalan sepakan penalti Cristiano Ronaldo tetapi berasakan pemain itu terlalu gopoh untuk melaksanakannya.


Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti tatkala Juve meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Chievo dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Douglas Costa, Emre Can dan Daniele Rugani masing-masing mencatat nama sebagai penjaring untuk Juve melebarkan kelebihan di puncak liga dengan sembilan mata.

Allegri berkata kemenangan pasukannya adalah yang paling penting di sebalik kegagalan Ronaldo itu biarpun dalam masa yang sama berpendapat penggempur itu terlalu terburu-buru untuk menyumbat gol dalam babak pertama.

"Penalti adalah penting... ia juga boleh digagalkan," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya tidak fikir ini adalah kali pertama Ronaldo tidak berjaya menyumbat penalti dalam kariernya. Apa yang paling penting ialah kami memenangi perlawanan."

Beliau menambah: "Dia (Ronaldo) mahu menjaringkan gol dan dalam babak kedua, dia secara teknikalnya beraksi dengan lebih baik.

"Dalam babak pertama, dia terlalu gopoh untuk menyumbat gol. Dalam bahagian kedua perlawanan, apabila dia menampilkan permainan yang lebih mudah, dia mempunyai dua atau tiga peluang untuk mencetak gol."

Ronaldo muncul penjaring terbanyak Serie A dengan 14 gol musim ini.