Sam Allardyce "sangat kecewa" dengan pengundurannya sebagai bos England selepas 67 hari menerajui skuad itu dan menawarkan "permohonan maaf sepenuh hati" kepada Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) serta pihak lain yang tersinggung dengan tindakannya.

Tempoh jurulatih berusia 61 tahun itu berakhir dengan persetujuan bersama, selepas satu mesyuarat dengan pengerusi FA, Greg Clarke, dan Ketua Eksekutif, Martin Glenn, hari ini.

Keputusan itu dibuat kurang daripada 24 jam selepas Daily Telegraph menerbitkan video yang didakwa dirakam ketika mesyuarat di antara sepasang pemberita yang menyamar dan Allardyce pada Ogos lalu.

Dalam rakaman itu, Allardyce didakwa memberitahu dua lelaki terbabit, yang mengaku kononnya mewakili sebuah firma pelaburan Asia Timur, bagaimana mereka boleh "mengelak" peraturan FA mengenai perpindahan pemain di bawah hak milik pihak ketiga.

"Lanjutan kepada peristiwa baru-baru ini, FA dan saya sama-sama bersetuju untuk berpisah," kata satu kenyataan di laman web FA, daripada bekas pengurus Sunderland itu, yang akan digantikan dengan bos skuad bawah 21, Gareth Southgate, untuk baki empat perlawanan England pada tahun ini.

"Ia adalah satu penghormatan besar bagi saya dilantik pada Julai lalu dan saya amat kecewa dengan keputusan ini.

"Petang ini, saya bertemu dengan Greg Clarke dan Martin Glenn dan menawarkan permohonan maaf secara ikhlas dan sepenuh hati di atas tindakan saya."

Allardyce juga didakwa mencapai perjanjian bernilai 400,000 pound (RM2.147 juta) untuk mewakili firma pelaburan palsu itu dan untuk menjadi penceramah utama dalam acara mereka, di sebalik syarat bahawa perancangan seperti itu perlu diluluskan oleh FA.

Selain itu, dia juga mengkritik jurulatih terdahulu, Roy Hodgson, dan pembantunya, Gary Neville, mengenai kerja-kerja mereka yang bertanggungjawab untuk pasukan England di Euro 2016.

Dalam video itu, Allardyce seolah-olah mengejek sambil meniru ucapan Hodgson, serta melabelkan tindakan FA dalam pembinaan semula Stadium Wembley yang menelan biaya besar sebagai "bodoh".

"Walaupun ia diperjelaskan dalam perbualan yang direkodkan bahawa apa-apa sahaja perancangan memerlukan kelulusan penuh FA, saya sedar saya membuat beberapa komen yang memalukan," kata kenyataan Allardyce.

"Sebagai sebahagian daripada mesyuarat hari ini, saya diminta untuk menjelaskan apa yang saya katakan dan konteks ketika perbualan berlaku. Saya memberi kerjasama sepenuhnya dalam hal ini.

"Saya juga kesal dengan komen saya berkaitan individu lain."

England akan berdepan Malta dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada 8 Oktober ini, selepas perlawanan tunggal di bawah kendalian Allardyce ketika menang 1-0 ke atas Slovakia.