LIVERPOOL 2 BORUSSIA DORTMUND 3

Borussia Dortmund meneruskan permulaan kukuh dalam aksi pra-musim dengan menewaskan juara Eropah, Liverpool, 3-2 di Stadium Notre Dame, Amerika Syarikat (AS).


Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut kelab Jerman itu, yang menamatkan Bundesliga di tempat kedua di belakang Bayern Munich musim lalu, dengan melakukan perubahan pemain selepas menewaskan Seattle Sounders 3-1 kelmarin.

Satu-satunya pemain yang bermula dalam kedua-dua perlawanan ialah Paco Alcacer dan dia menemui sasaran kedua dalam dua perlawanan dengan membuka jaringan pada minit ketiga hasil aksi bersemangat daripada Giovanni Reyna.

Liverpool memperoleh peluang yang lebih baik dalam babak pertama dan menyamakan kedudukan pada 10 minit terakhir apabila Harry Wilson menyumbat masuk bola ke penjuru gawang lawan susulan gerakan 'dummy' Ryan Kent.

Dortmund melakukan sembilan pertukaran selepas waktu rehat untuk meletakkan juara Bundesliga lapan kali itu kembali di depan apabila Thomas Delaney menghasilkan penyudah tenang hasil hantaran lintang Thorgan Hazard.

Lima minit kemudian, kedudukan menjadi 3-1 apabila Jacob Bruun Larsen, yang menerima hantaran Marius Wolf, masuk ke kawasan bahaya sebelum meledak ke penjuru gawang lawan.

The Reds kemudian memasukkan barisan bintangnya seperti Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson dan Virgil Van Dijk dalam sembilan pertukaran yang dilakukan pada 30 minit terakhir sebelum merapatkan kedudukan pada minit ke-75.

Ben Woodburn memenangi sepakan penalti yang kemudian disudahkan dengan baik oleh Rhian Brewster, namun mereka gagal untuk mencari gol penyamaan apabila Dortmund kental bertahan hingga penghujung saingan.

Liverpool akan berdepan Sevilla di Boston dalam perlawanan berikutnya manakala Dortmund akan menghadapi Udinese di Austria, Sabtu depan.