Pertahanan Barcelona, Jordi Alba, mahu Real Madrid tewas di tangan Liverpool dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah pada Sabtu ini, namun tidak mengambil kisah jika juara bertahan itu menjulang trofi buat kali ketiga berturut-turut.

Alba akan meluangkan dua bulan akan datang bersama beberapa pemain dari skuad Madrid tatkala Sepanyol kini dalam usaha untuk memenangi Piala Dunia 2018 di Russia tetapi perkara itu tidak menghalangnya daripada menyatakan pendapat mengenai aksi di Kiev.

"Hubungan saya dengan pemain Madrid sangat baik. Apabila berada dalam skuad Sepanyol, saya meluangkan banyak masa bersama mereka.

"Bagaimanapun, saya mahu Liverpool menang dan Madrid kalah. Sebenarnya, saya mahu Madrid tewas dalam semua perlawanan.

"Saya tiada masalah untuk mengatakannya dan tidak ada sesiapa yang patut berkecil hati," kata Alba.

Walaupun dia mahukan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu memenangi pertemuan di ibu negara Ukraine itu, Alba tetap akan mengucapkan tahniah buat pemain-pemain Los Blancos jika mereka mempertahankan kejuaraan yang diraih sejak 2016 itu.

"Jika Madrid menang, saya tetap akan tidur seperti biasa dan tiada apa-apa drama.

"Saya akan menonton perlawanan itu dan pasukan terbaik akan menang. Saya juga akan mengucapkan tahniah buat rakan-rakan dari Madrid jika mereka melakukannya.

"Keadaan di antara kami sangat bagus dan ia perlu kekal sebegitu. Apabila musim berakhir, kami akan fokus untuk Piala Dunia," katanya.