Pertahanan Barcelona, Jordi Alba, menyifatkan kesempatan menjadi rakan sepasukan Lionel Messi adalah satu nikmat selepas membantu Barca membenam Celta Vigo 5-0, awal pagi tadi.

Dua gol Messi dalam aksi di Camp Nou itu telah dibantu oleh hantaran daripada Alba sebelum bintang Argentina itu membuka ruang buat pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan gol ketiga pasukan.

Luis Suarez dan Ivan Rakitic turut mencatat nama dalam senarai penjaring, sekaligus melayakkan skuad kendalian Ernesto Valverde itu ke suku akhir Piala Raja Sepanyol menerusi kemenangan agregat 6-1.

Sejumlah 24 jaringan yang dihasilkan Messi menerusi 14 perlawanan di pentas Piala Raja Sepanyol membuatkan Alba memuji kehebatan rakan sepasukannya itu.

"Menjadi satu nikmat apabila memiliki Messi di dalam pasukan kerana dia adalah pemain terbaik sepanjang zaman.

"Kami sentiasa cuba membantu satu sama lain untuk menjaringkan gol dan hari ini melakukannya sebanyak dua kali," kata Alba.

Messi telah pun menandatangani kontrak baru sehingga 2021 dan Alba berharap agar pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu akan mengekalkan prestasi hebatnya.

"Saya harap dia akan kekal hebat. Messi telah melakukannya selama 12 tahun.

"Peminat-peminat pasti akan gembira jika dia terus beraksi cemerlang bersama Barcelona," katanya lagi.