Jurulatih Al Jazira, Henk ten Cate, menegaskan skuadnya perlu 'meletak tiga bas' untuk mengekang Real Madrid dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium Bandar Sukan Zayed, Abu Dhabi, esok.

Kemenangan tipis ke atas Auckland City dan Urawa Red Diamonds membolehkan Al Jazira menempah slot menentang juara Eropah itu, yang pernah dilatih oleh Jose Mourinho.

Dan Ten Cate berkata pasukannya akan menerapkan taktikal Mourinho untuk perlawanan tersebut.

"Kami memerlukan tiga bas," kata jurulatih Belanda itu dengan nada seloroh, hari ini. "Mungkin Mourinho boleh datang dan meletakkan dua lagi bas di depan gol kami.

"Bermimpi adalah OK, tetapi anda tidak perlu menjadi bodoh, mesti realistik. Dan jika anda realistik, peluang untuk menang tidaklah terlalu besar.

"Perbezaan dalam kualiti terlalu besar. Tetapi pasukan saya akan berjuang seperti yang mereka lakukan sebelum ini, mereka akan bertarung habis-habisan," ujarnya.

Ten Cate membayangkan pemain Al Jazira mungkin terlalu menghormati bintang Madrid seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale.

"Kami lihat setiap hari liga Sepanyol, Jerman dan Inggeris, kini anda menghadapi seseorang seperti Ronaldo yang telah memenangi lima bola emas (Ballon d'Or)," kata Ten Cate.

"Dan kini anda berdiri di sebelahnya di dalam terowong untuk memasuki padang dan bermain menentangnya. Saya dapat bayangkan situasi itu kepada pemain. Mereka sangat bermotivasi, saya berharap mereka tidak terlalu gugup, saya fikir ia akan menjadi baik.

"Kami tidak perlu memberi motivasi, terutama kepada pemain muda. Mereka bermain PlayStation di dalam bas ketika kami pergi bermain di luar dan kebanyakan mereka menyokong Madrid, jadi mereka tahu semua pemain.

"Ia agak lucu kerana pemain sama bermain PlayStation di dalam bas akan menghadapi bintang sebenar esok.

"Al Jazira mungkin perkara paling besar yang saya lakukan. Separuh akhir Piala Dunia Kelab dengan pasukan dari UAE (Emiriah Arab Bersatu) adalah sesuatu yang hampir tidak dapat dibayangkan. Kami berbangga berada di sini," tambahnya.