Julian Nagelsmann berkata ia bukan mengenai pertemuan 'Mourinho dan Bayi Mourinho' apabila skuad bimbingannya, RB Leipzig, bakal menentang Tottenham Hotspur dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Nagelsmann -- sebelum ini disifatkan sebagai 'Bayi Mourinho' di Jerman -- bakal mengharungi aksi sulung pusingan kalah mata Liga Juara-Juara menentang pasukan kendlian Jose Mourinho, Spurs.

Namun, pengendali berusia 32 tahun -- itu yang merupakan pengurus termuda di pentas Liga Juara-Juara -- pantas mengalihkan perhatian itu ketika dalam sidang media.

"Ia hanya tentang perlawanan Leipzig menentang Tottenham. Lapan tahun lalu, penjaga gol Hoffenheim, Tim Wiese, menggelarkan saya 'Bayi Mourinho' tetapi hanya untuk dua minggu. Kemudian, dia kembali memanggil saya Nagelsmann.

"Esok adalah perlawanan Leipzig dan Spurs, bukan Mourinho menentang Bayi Mourinho.

"Saya sangat menghormati Mourinho. Dia telah memenangi banyak kejuaraan, bukan sekadar sewaktu bersama kelab besar dan telah membentuk bola sepak Eropah.

"Kemenangan Porto dalam Piala UEFA dan Liga Juara-Juara dalam tempoh yang pendek sangat hebat.

"Hari ini, saya ada membaca bahawa ia bakal jadi pusingan kalah mati yang ke-59 untuknya dalam Liga Juara-Juara dan ini kali pertama untuk saya!

"Auranya memukau saya. Saya tidak sabar untuk mengenalinya."

Susulan tempohnya di Hoffenheim dan Leipzig, Nagelsmann telah menarik banyak minat dan dikaitkan dengan jawatan di Tottenham susulan pemecatan Mauricio Pochettino, November lalu.

Ditanya jika dia hampir menjadi pengurus Spurs selepas Pochettino meninggalkan pasukan, dia menjawab: "Saya? Tidak."

Leipzig mengungguli peringkat kumpulan mengatasi Lyon, Benfica dan Zenit Saint Petersburg untuk mara ke pusingan 16 buat kali pertama tetapi Nagelsmann menolak sebarang kelebihan menjelang aksi di utara London itu.

"Saya memiliki beberapa tahap gemuruh setiap kali sebelum perlawanan," katanya.

"Namun, ia bukan aksi terpenting dalam sejarah kelab. Sudah tentu kami mahu ke pusingan seterusnya tetapi ia adalah aksi pertama."